Latar Belakang dan Sejarah
Persatuan Perlis Kuala Lumpur telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1979 dengan Nombor Pendaftaran 670/79. Sejak awal penubuhannya, persatuan ini beroperasi di No. 7, Lorong Raja Uda 7, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, yang merupakan kediaman salah seorang pengasasnya, Datuk Faridah Khalid.
Usaha menubuhkan persatuan ini bermula pada tahun 1976 oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Azmi Khalid ketika beliau bertugas di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Dengan visi menyatukan anak-anak Perlis di perantauan, beliau mengetuai inisiatif penubuhan persatuan ini dan seterusnya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penaja Mesyuarat Agung Pertama yang diadakan di kantin PKNS.
Menyedari keperluan untuk mengukuhkan kewangan persatuan, pada tahun 1995, Ahli Jawatankuasa Persatuan Perlis Kuala Lumpur mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Kebajikan dan Pendidikan. Tabung ini bukan sahaja bertujuan merealisasikan impian memiliki Rumah Persatuan tetapi juga bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan. Antara objektif utama tabung ini adalah:
1. Memberikan bantuan kewangan dan sokongan lain kepada pelajar miskin untuk melanjutkan pelajaran.
2. Menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, termasuk orang miskin, orang kurang upaya, anak yatim, balu dan mereka yang mengalami kesusahan hidup.
3. Menyediakan tempat penginapan sementara bagi ahli persatuan dan anak-anak Perlis yang memerlukan tempat bermalam semasa berurusan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
Tabung ini telah dilancarkan secara rasmi oleh Almarhum DYMM Tuanku Syed Putra Jamalulail Ibni Almarhum Syed Hassan pada Malam Indera Kayangan yang berlangsung pada 2 September 1995 di Nirwana Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Majlis tersebut telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM223,390.00 bagi Tabung Kebajikan dan Pendidikan persatuan.
Sejak awal, para pengasas persatuan bercita-cita untuk memiliki sebuah bangunan rasmi sebagai Rumah Persatuan bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Namun, dengan sumber kewangan yang terhad dan hanya bergantung kepada yuran keahlian yang kecil, impian tersebut sukar direalisasikan.
AJK Persatuan terus berusaha mengumpul sumbangan daripada ahli-ahli persatuan, ahli korporat dan orang ramai bagi mengisi tabung serta mendapatkan sebuah bangunan. Namun, hasil kutipan masih tidak mencukupi kerana dana tersebut turut digunakan untuk aktiviti kebajikan dan pendidikan seperti Geran Pelajaran, sumbangan kepada Rumah Anak-anak Yatim, serta program kebajikan lain untuk manfaat semua ahli persatuan.
Selain daripada mengumpul sumbangan daripada orang ramai, AJK Persatuan juga berusaha mendapatkan penajaan daripada individu yang sudi menaja pembelian bangunan impian persatuan. Hasil usaha gigih Yang Dipertua Persatuan ketika itu, Tan Sri Halim Saad, seorang anak Perlis yang berjaya dalam bidang korporat, telah tampil menghulurkan sumbangan bagi merealisasikan pembelian sebuah rumah kedai tiga tingkat sebagai Rumah Persatuan.
Akhirnya, impian tersebut menjadi kenyataan pada tahun 1999 apabila Persatuan berjaya memiliki rumah tiga tingkat yang terletak di Taman Sejahtera, Segambut, Kuala Lumpur. AJK Persatuan pada masa itu mengambil keputusan untuk menggunakannya seperti berikut:
1. Tingkat bawah dijadikan pejabat urusan persatuan untuk mengadakan mesyuarat dan aktiviti rasmi.
2. Tingkat satu, yang mengandungi tiga bilik, dijadikan tempat kediaman dengan sewa berpatutan kepada ahli-ahli persatuan dan anak-anak Perlis yang memerlukan tempat tinggal sementara semasa mereka berurusan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.
3. Tingkat atas, yang turut mengandungi tiga bilik, disewakan bagi menambah sumber pendapatan persatuan.
Dengan usaha dan dedikasi yang tidak pernah luntur, Persatuan Perlis Kuala Lumpur terus berkembang sebagai wadah perpaduan dan kebajikan bagi anak-anak Perlis di perantauan, meneruskan misi membantu mereka yang memerlukan serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahlinya.